KUALA LUMPUR – Seorang pemuda dikenali sebagai Wan meraih perhatian warganet apabila berkongsi kisah kegigihannya mencari rezeki demi menyara keluarga sejak usia 15 tahun.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh storie.my, Wan yang kini berusia 23 tahun memaklumkan dia telah bekerja sebagai pengutip sampah di Kuantan sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, dia turut melakukan dua pekerjaan dalam sehari termasuk bekerja sambilan di sebuah kedai makan bagi menampung keperluan keluarga.
Wan berkata, keputusan untuk berhenti sekolah dibuat ketika berusia 15 tahun susulan masalah keluarga, selain mahu membantu meringankan beban ibu bapanya.
“Saya mula bekerja umur 15 tahun. Keluarga ada masalah sedikit, jadi saya ambil keputusan berhenti sekolah untuk bantu mereka.
“Saya ada tiga orang adik yang masih bersekolah. Saya nak mereka habiskan pelajaran, saya tak habis tidak mengapa,” katanya.
Tambahnya, dia sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan yang halal selagi tidak menyusahkan orang lain.
“Saya buat apa saja kerja, yang penting halal dan tak ganggu orang. Yang penting juga, dekatkan diri dengan Allah,” ujarnya.
Menurut Wan, ibu bapanya menjadi sumber kekuatan dan motivasi utama untuk dia terus bertahan dalam kehidupan.
“Ibu bapa adalah semangat saya. Janji boleh ringankan beban mereka,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dan tersentuh dengan ketabahan Wan.
“Akak doakan awak berjaya dunia dan akhirat, dik. Awak seorang anak dan abang yang bertanggungjawab. Dari cara bercakap pun jelas awak bijak, cuma nasib belum menyebelahi. Semoga hidup awak sentiasa dipermudahkan. Amin,” kata seorang pengguna.
Perkongsian ini sekali gus menjadi inspirasi kepada masyarakat tentang erti pengorbanan dan tanggungjawab dalam kehidupan dalam mencari rezeki yang halal. -MYBERITA

