KUALA LUMPUR – Pelakon, Zahirah MacWilson mencuri perhatian warga maya apabila tampil berhijab menerusi beberapa hantaran di Instagram, baru-baru ini.
Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson, 31, berkongsi beberapa foto bersama suaminya yang juga pelakon, Aiman Hakim Ridza, dengan mengenakan tudung berwarna coklat.
“One sunny afternoon in July, one sunny afternoon with you (Satu petang yang cerah di bulan Julai, satu petang yang cerah bersamamu),” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian itu mendapat perhatian rakan artis dan netizen yang rata-rata memuji penampilan terbaharunya selain mendoakan agar Zahirah terus istiqamah dalam mengenakan hijab.
“Semoga istiqamah dan dalam naungan rahmat Allah,” kata seorang pengguna.
“Masya-Allah. Semoga dipermudahkan segala urusan,” kata seorang lagi pengguna.
Terdahulu, Zahirah turut berkongsi beberapa foto ketika bercuti bersama keluarga tercinta pada Ahad lalu.
Menerusi hantaran berkenaan, pelakon itu dilihat tampil mengenakan hijab, sekali gus menarik perhatian pengikutnya di media sosial.
Bagaimanapun, setakat ini Zahirah masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung penampilan terbaharunya itu.
Dalam pada itu, Aiman turut berkongsi foto isterinya yang tampil berhijab menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya, baru-baru ini.

