PETALING JAYA – Pasukan Penang FC terus bergelut untuk kembali ke landasan kemenangan apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Polis DiRaja Malaysia dalam aksi Liga Super di Stadium MP Selayang malam semalam.
Skuad Harimau Kumbang kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail turun dengan kesebelasan terbaik yang dibarisi pemain utama seperti Shamie Iszuan, Stefano Brundo, Tchetche Kipre dan Dylan Wenzel-Halls dalam usaha melupakan kekalahan 0-4 kepada Selangor FC minggu lalu.
Penang FC lebih menguasai permainan sejak awal babak pertama dengan beberapa asakan berbahaya berjaya dicipta ke kubu tuan rumah. Usaha berterusan pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila Oj Porteria berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-34.
Namun begitu, kegembiraan pasukan pelawat hanya bertahan enam minit selepas pertahanan, Kamil Amirul tertampan bola ke gawang sendiri sekali gus menghadiahkan gol penyamaan buat PDRM.
Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan terus mempamerkan corak permainan terbuka walaupun keadaan padang yang lecak akibat hujan lebat sedikit menjejaskan rentak permainan dan gerakan serangan.
Penang FC hampir membawa pulang tiga mata penuh pada masa kecederaan, namun rembatan Haziq Kutty Abba tersasar sekali gus menyaksikan keputusan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Penang FC kini mengumpul 22 mata selepas 23 perlawanan, manakala PDRM kekal di tangga tercorot liga dengan 11 mata musim ini.

