KOTA KINABALU – Usaha membangunkan teknologi tenaga mampan di Sabah menerima suntikan baharu apabila projek penyelidikan bernilai RM76,000 dilaksanakan bagi menghasilkan sistem pencahayaan tanpa bateri yang menggunakan tenaga haba, sekali gus membuka ruang kepada aplikasi teknologi hijau dalam pendidikan STEM di negeri itu.
Projek di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) itu menghimpunkan kepakaran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Seni Gemilang Sdn. Bhd. bagi membangunkan prototaip sistem pencahayaan berasaskan tenaga haba selain menghasilkan modul pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk digunakan di sekolah-sekolah seluruh Sabah.
Pengerusi Technology Depository Agency Bhd. (TDA), Tan Sri Liew Yun Fah berkata, ICP bukan sekadar memanfaatkan projek perolehan kerajaan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi, penyelidikan dan modal insan negara.
“Program Kolaborasi Industri memastikan setiap perolehan strategik kerajaan memberikan nilai mampan kepada negara.
“Dengan menggalakkan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi akademik, ICP mempercepat pemindahan teknologi, memperkukuh keupayaan penyelidikan serta melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi yang dipacu teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian berhubung pelaksanaan projek penyelidikan bertajuk Investigation of Sustainable Free Battery Self Power Lighting System Module Powered from Thermal Energy for Sabah STEM Education Module Kit.
Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan ICP bagi Projek Penghantaran Pencawang Masuk Utama (PMU) Karamunsing 132/11kV yang dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Di bawah inisiatif itu, Seni Gemilang Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penyedia ICP dengan bekerjasama rapat bersama UMS bagi meneroka penggunaan tenaga haba sebagai sumber alternatif untuk menjana elektrik tanpa memerlukan bateri.
Selain pembangunan prototaip, projek itu turut memberi penekanan kepada pembangunan modul pembelajaran STEM yang berteraskan aktiviti praktikal bagi meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi, khususnya berkaitan tenaga mampan.
ICP merupakan inisiatif kerajaan yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) dan dipantau oleh TDA bagi memastikan projek perolehan kerajaan yang terpilih turut memberi impak kepada pembangunan teknologi, inovasi, kerjasama penyelidikan serta pembangunan bakat tempatan.


