KUALA LUMPUR – Peminat teater dan seni persembahan tanah air bakal kembali menikmati kehebatan Puteri Gunung Ledang The Musical apabila jualan tiket kepada orang ramai dibuka bermula 21 Ogos ini.
Muzikal terbitan Enfiniti dengan kerjasama Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) itu akan dipentaskan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, Sunway City Kuala Lumpur, bermula 31 Oktober hingga 15 November depan.
Produksi ikonik yang pernah mencipta fenomena itu kembali dipentaskan selepas hampir dua dekad, sekali gus memberi peluang kepada generasi baharu untuk menyaksikan kisah legenda tersebut dalam versi pentas yang lebih segar.
Penerbit Eksekutif Bersama merangkap Pengarah, Tiara Jacquelina berkata, sambutan awal daripada orang ramai amat memberangsangkan sejurus pengumuman pementasan itu dibuat di media sosial.
Menurutnya, pihak produksi menerima pertanyaan bertalu-talu menerusi Threads, Instagram, TikTok serta talian tiket JCPAC, malah beberapa syarikat korporat turut membuat tempahan awal sebelum jualan kepada orang ramai dibuka.
“Sudah lapan tahun sejak Enfiniti mementaskan OlaBola The Musical dan saya hampir terlupa debaran menjelang pembukaan sebuah produksi berskala besar. Melihat keterujaan penonton membuatkan kami semakin bersemangat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiara berkata, pasukan kreatif dan teknikal kini sedang memperhalusi setiap aspek produksi termasuk susunan muzik, koreografi, rekaan pentas, kostum serta kesan khas bagi memastikan persembahan mencapai standard terbaik.
Latihan penuh produksi dijadual bermula pada 17 Ogos.
Pementasan kali ini menampilkan Aisha Retno dan Mila Mohsin yang akan bergilir-gilir membawakan watak Puteri Gunung Ledang, manakala Aqasha memegang watak Hang Tuah.
Turut membarisi pelakon ialah Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim yang bakal menghidupkan watak-watak penting dalam kisah epik tersebut.
“Seluruh pasukan bertekad menghasilkan sebuah produksi yang akan meninggalkan kenangan kepada penonton dan kami tidak sabar untuk membawanya ke pentas,” katanya.
Bagi pemegang kad AFFIN, tempoh tempahan keutamaan selama 72 jam akan dibuka bermula 18 Ogos pada jam 8 malam, sebelum jualan tiket kepada orang ramai bermula tiga hari kemudian.
Pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical dijangka menjadi antara acara seni terbesar tahun ini dengan menggabungkan elemen muzik, lakonan, tarian dan teknologi pentas moden bagi menghidupkan semula karya yang pernah menjadi kebanggaan industri teater Malaysia.


