KUCHING – Seorang guru besar sebuah tadika tahfiz meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Tabuan Jaya, di sini.
Mangsa, Jun Azlin Jaminal, dipercayai rebah berhampiran kawasan eskalator di Vivacity Megamall sebelum seorang pengunjung tampil memberikan bantuan kecemasan termasuk melakukan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR).
Menurut perkongsian seorang wanita, Laila Abdul Hamid yang membantu mangsa, CPR diberikan kira-kira seminit selepas mangsa rebah.
Laila yang pernah bertugas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, beliau meneruskan usaha memberikan CPR selama kira-kira 15 minit kepada mangsa.
Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berjaya menyelamatkan mangsa yang kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Allahyarhamah dilaporkan merupakan seorang pendidik dan Guru Besar di Tadika Tahfiz HIKMAH Kuching.
Setakat ini, punca sebenar kejadian serta keadaan kesihatan mangsa sebelum insiden berkenaan masih belum dilaporkan secara rasmi.
Kejadian itu turut mengundang simpati orang ramai, selain mencetuskan perbincangan mengenai kepentingan pengetahuan dan kemahiran bantuan kecemasan dalam kalangan masyarakat.
