Rakaman CCTV tidak jelas, polis masih siasat kes anak Rafizi

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat menjalankan siasatan berhubung insiden serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang berlaku pada 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, beberapa individu telah dikenal pasti menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, identiti sebenar suspek masih belum dapat dipastikan kerana rakaman yang diperoleh kurang jelas.

“Terdapat beberapa individu yang kita (PDRM) kenal pasti melalui rakaman CCTV, tetapi rakaman itu nampaknya tidak begitu jelas dan tidak dapat dikenal pasti wajah mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu ini.

Pada Sabtu lalu, Rafizi memaklumkan beliau masih belum menerima perkembangan baharu daripada pihak polis mengenai kes itu, selain menegaskan akan terus mendesak pihak berkuasa memberikan maklumat terkini.

Sebelum ini, pada 22 Ogos, Mohd. Khalid berkata pihaknya sudah merakam keterangan daripada 19 individu termasuk ahli keluarga Rafizi, berhubung kejadian serangan terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun tersebut di sebuah pusat beli-belah.

Menurut beliau, polis juga masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital mengenai cecair yang dipercayai disuntik ke tubuh anak Rafizi semasa serangan itu berlaku.

Siasatan berhubung insiden berkenaan masih diteruskan.

BACA JUGA:  150 anggota polis ditugaskan untuk majlis pecah tanah masjid hari ini
Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com