Khamis | 17/09/2026 | 10:57:11 pm
HomeDuniaZahid-Gibran bincang jerebu, Malaysia-Indonesia mahu tindakan lebih tersusun

Zahid-Gibran bincang jerebu, Malaysia-Indonesia mahu tindakan lebih tersusun

JAKARTA – Isu jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia dan Indonesia bakal ditangani menerusi kerjasama lebih tersusun, termasuk memperkukuh pencegahan awal, perkongsian maklumat dan penyelarasan operasi antara kedua-dua negara.

Kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden, di sini, hari ini.

Pertemuan berkenaan berlangsung ketika isu kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan kembali menjadi perhatian, dengan Malaysia turut menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan.

Ahmad Zahid berkata, kesan jerebu tidak terhad kepada pencemaran udara semata-mata, malah memberi impak secara langsung terhadap kesihatan dan rutin harian masyarakat.

“Isu jerebu memberi kesan langsung kepada rakyat kedua-dua negara, khususnya terhadap kesihatan, kualiti udara dan kehidupan harian.

“Justeru, isu ini perlu ditangani secara lebih tersusun dan menyeluruh melalui pencegahan awal, perkongsian maklumat, penyelarasan operasi serta tindakan bersama yang lebih berkesan,” katanya.

Selain jerebu, pertemuan kira-kira 45 minit itu turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh kerjasama pengurusan bencana antara Malaysia dan Indonesia.

Malaysia sebelum ini menyatakan kesediaan menggerakkan 52 anggota, sebuah pesawat amfibi Bombardier CL-415MP dan tiga helikopter bagi membantu Indonesia memadam kebakaran hutan, tertakluk kepada persetujuan dan keperluan kerajaan republik itu.

Kedua-dua negara turut melihat ruang memperluas kerjasama dalam sektor halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan perdesaan melalui perkongsian kepakaran, pembangunan bakat dan peluang ekonomi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, hubungan rapat Malaysia dan Indonesia perlu terus dimanfaatkan dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran bersama.

“Malaysia dan Indonesia merupakan dua negara serumpun yang sentiasa memilih jalan musyawarah dan kerjasama.

“Semangat inilah yang akan terus menjadi asas untuk kita merungkai setiap cabaran bersama demi melindungi rakyat serta memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan rantau ini,” katanya.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan kerja empat hari ke Jakarta bermula 17 hingga 20 September yang turut memberi tumpuan kepada pengurusan bencana, industri halal dan pembangunan perdesaan.

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Khamis, 17 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
TERKINI
Baru sahaja