Sabtu | 19/09/2026 | 4:02:41 pm
HomeJenayahVideo teater 2018 kembali tular, MCMC kesan akaun dan individu terlibat

Video teater 2018 kembali tular, MCMC kesan akaun dan individu terlibat

KUALA LUMPUR – Rakaman sebuah pementasan berusia lapan tahun yang kembali tular di media sosial kini menjadi perhatian pihak berkuasa apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka siasatan berhubung kandungan yang didakwa menyentuh institusi Raja, Malaysia dan Rukun Negara.

RINGKASAN BERITA
  • MCMC memaklumkan, semakan awal mendapati video berkenaan sebenarnya berasal daripada sebuah pementasan yang berlangsung pada 2018 sebelum rakamannya kembali disebarkan menerusi beberapa platform media…
  • Menurut suruhanjaya itu, beberapa akaun media sosial serta individu yang mempunyai kaitan dengan penyebaran dan rakaman berkenaan sudah dikenal pasti bagi membantu siasatan.
  • Siasatan turut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk bagi melengkapkan aspek berkaitan bukti digital.
  • MCMC pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai individu yang dikaitkan dengan video…
Ringkasan automatik berdasarkan laporan MYBERITA.

MCMC memaklumkan, semakan awal mendapati video berkenaan sebenarnya berasal daripada sebuah pementasan yang berlangsung pada 2018 sebelum rakamannya kembali disebarkan menerusi beberapa platform media sosial baru-baru ini.

Menurut suruhanjaya itu, beberapa akaun media sosial serta individu yang mempunyai kaitan dengan penyebaran dan rakaman berkenaan sudah dikenal pasti bagi membantu siasatan.

“MCMC telah mengenal pasti beberapa akaun media sosial dan individu berkaitan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan turut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk bagi melengkapkan aspek berkaitan bukti digital.

MCMC pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai individu yang dikaitkan dengan video tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai individu yang dikaitkan dengan video tersebut bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses siasatan,” katanya.

Perkembangan itu menyusul selepas Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang meminta PDRM dan MCMC menjalankan siasatan segera serta menyeluruh terhadap pementasan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, dengan penelitian dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan berkaitan.

Antaranya termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948.

Aaron turut menegaskan kedudukan Rukun Negara sebagai asas penting dalam pembentukan dan perpaduan negara.

“Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang dibaca dalam majlis rasmi. Rukun Negara ialah ideologi dan falsafah kebangsaan serta panduan dalam pembinaan sebuah negara yang bersatu padu.

“Perkara itu telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dengan matlamat utama membentuk perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, rakaman klip sebuah pementasan teater bertajuk ‘This is Malaysia’ tular selepas dimuat naik menerusi akaun Instagram The Fever Kinetic Theatre.

Rakaman itu memaparkan beberapa pelakon membawa pelbagai watak dan menyampaikan dialog mengenai situasi di Malaysia, yang kemudian mencetuskan dakwaan bahawa pementasan berkenaan mempersendakan institusi Raja, negara dan Rukun Negara. – MYBERITA

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITAhttps://portalmyberita.com/
Wartawan MYBERITA membawakan laporan berita semasa, nasional dan perkembangan terkini dari seluruh Malaysia dengan penyampaian yang pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Sabtu, 19 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
TERKINI
Baru sahaja
|