SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mempertahankan kedudukan barisan Exco kerajaan negeri dengan menegaskan mereka masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa, meskipun Istana Negeri Sembilan mengumumkan pembatalan pelantikan mereka berkuat kuasa serta-merta.
- Ismail berkata, beliau tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan…
- Menurut Ismail, pendirian kerajaan negeri itu dibuat berdasarkan tafsirannya terhadap UUTKNS 1959, khususnya mengenai sempadan kuasa eksekutif serta kedudukan dan tempoh perjawatan Exco.
- Beliau berkata, sistem pentadbiran Negeri Sembilan berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, manakala Perkara 40(1) memperuntukkan Yang di-Pertuan Besar bertindak mengikut nasihat Majlis…
- Menurut beliau, Perkara 38(5) berkaitan tempoh perjawatan seseorang Exco juga tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu ditafsirkan bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).
Ismail berkata, beliau tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Dengan itu, tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baharu kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ismail, pendirian kerajaan negeri itu dibuat berdasarkan tafsirannya terhadap UUTKNS 1959, khususnya mengenai sempadan kuasa eksekutif serta kedudukan dan tempoh perjawatan Exco.
Beliau berkata, sistem pentadbiran Negeri Sembilan berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, manakala Perkara 40(1) memperuntukkan Yang di-Pertuan Besar bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran.
Ismail turut berhujah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar dalam hal pentadbiran hanya merangkumi perkara yang dinyatakan di bawah Perkara 40(2).
“Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan Exco secara bersendirian tidak termaktub dalam lingkungan kuasa budi bicara ini,” katanya.
Menurut beliau, Perkara 38(5) berkaitan tempoh perjawatan seseorang Exco juga tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu ditafsirkan bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).
Berdasarkan tafsiran kerajaan negeri, katanya, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan Exco ketika pentadbiran sedang berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar.
“Dengan itu, mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang Exco yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang,” katanya.
Pendirian itu menyusul selepas Istana Negeri Sembilan mengumumkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Istana, keputusan itu dibuat selepas Exco terbabit didapati memungkiri sumpah jawatan mereka.
Kenyataan Istana turut merujuk Perkara 38(5) UUTKNS 1959 yang menyatakan seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, selain Menteri Besar, memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.
Perkembangan itu memperlihatkan perbezaan tafsiran mengenai peruntukan UUTKNS 1959 antara pendirian yang diumumkan Istana dengan tafsiran yang dikemukakan Menteri Besar berhubung kedudukan Exco kerajaan negeri. – MYBERITA
