Khamis | 24/09/2026 | 12:37:13 am
HomeDuniaMohamad Hasan tiba di New York, Malaysia bawa isu Palestin ke pentas...

Mohamad Hasan tiba di New York, Malaysia bawa isu Palestin ke pentas UNGA

NEW YORK – Isu Palestin, pematuhan undang-undang antarabangsa dan desakan terhadap reformasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka menjadi antara suara utama Malaysia apabila Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi negara ke Perhimpunan Agung PBB ke-81 (UNGA81).

Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pada Rabu dan disambut Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Nadzirah Osman bersama pegawai kanan Kementerian Luar kira-kira jam 9 pagi waktu New York.

Kehadiran kali ini merupakan kali ketiga beliau mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA sejak dilantik sebagai Menteri Luar pada Disember 2023.

Kemuncak penyertaan Malaysia menyaksikan Mohamad dijadual menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi Perbahasan Umum pada 26 September sekitar jam 4.30 petang waktu New York.

Antara perkara yang dijangka diketengahkan ialah pengukuhan multilateralisme, pemeliharaan undang-undang antarabangsa, isu Palestin dan ketegangan geopolitik di Asia Barat selain reformasi PBB serta Majlis Keselamatan.

Malaysia turut dijangka membawa isu jurang pembangunan, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan inisiatif UN80.

“Tiada negara yang mampu menangani cabaran global masa kini secara bersendirian,” kata Nadzirah ketika mengulas kepentingan tindakan kolektif masyarakat antarabangsa dalam menghadapi krisis kepercayaan terhadap multilateralisme.

Sepanjang berada di New York sehingga 27 September, Mohamad mempunyai jadual diplomatik padat termasuk menghadiri mesyuarat peringkat tinggi dan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin serta rakan sejawat dari beberapa negara.

Pada 24 September, beliau dijadual menyertai beberapa pertemuan termasuk Mesyuarat Peringkat Menteri Suruhanjaya Pembinaan Keamanan, Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta mesyuarat menyokong Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Mohamad turut dijadual menyertai mesyuarat peringkat tinggi berkaitan ancaman kenaikan paras laut sebelum meneruskan siri program diplomatik pada hari berikutnya.

Antara agenda penting pada 25 September ialah pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB, António Guterres, yang antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama serta persefahaman berhubung isu serantau dan global.

Penyertaan Malaysia dalam UNGA81 berlangsung ketika masyarakat antarabangsa berdepan pelbagai cabaran geopolitik, ekonomi dan alam sekitar, dengan sesi kali ini membawa tema Restoring Trust, Managing Transformation: A United Nations That Delivers for All. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Khamis, 24 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|