KUALA LUMPUR – Kedudukan Perikatan Nasional (PN) terus menjadi perhatian apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan menerima perintah bertulis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), petang Rabu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dokumen berkenaan bertarikh 23 September dan diterima parti itu pada petang hari sama.
“Bersatu telah menerima perintah bertulis daripada RoS bertarikh 23 September pada petang ini,” katanya ketika dihubungi media, malam tadi.
Azmin berkata, Bersatu akan terlebih dahulu meneliti kandungan dokumen berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut mengenai perkembangan itu.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas apabila ditanya sama ada terdapat perkara lain terkandung dalam notis berkenaan selain isu berkaitan status pembatalan PN.
Dalam masa sama, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang berkata, beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan bahawa satu mesyuarat tergempar PN diadakan malam tadi.
Perkembangan itu menyusul selepas tular tangkap layar yang didakwa memaparkan surat RoS berkaitan pembatalan pertubuhan PN.
Berdasarkan laporan media, notis bertarikh 22 September itu difahamkan memberi tempoh 30 hari kepada Pengerusi PN untuk mengemukakan representasi kepada RoS.
Satu lagi perintah bertulis bertarikh 23 September pula dilaporkan berkaitan penggantungan semua aktiviti serta penggunaan nama PN berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Bersatu setakat ini hanya mengesahkan penerimaan perintah bertulis berkenaan dan belum memperincikan keseluruhan kandungannya.
Kemelut itu mempunyai kaitan dengan aduan rasmi yang dikemukakan Bersatu kepada RoS pada 11 Ogos lalu berhubung dakwaan parti berkenaan tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta persoalan mengenai status keanggotaannya dalam gabungan tersebut.
RoS sebelum ini mengesahkan aduan berkenaan sedang diteliti berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi jabatan. – MYBERITA
