IPOH – Tindakan sebuah kereta sedan putih memotong dan mencelah antara kenderaan sebelum hilang kawalan sehingga merempuh pembahagi jalan mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya.
Kejadian di Ipoh, Perak itu dirakam pengguna jalan raya sebelum rakaman berkenaan dikongsikan menerusi Threads oleh pengguna muhdddddd9494.
Berdasarkan rakaman tersebut, sedan berkenaan dilihat dipandu secara berbahaya ketika melalui laluan yang turut digunakan beberapa kenderaan lain.
Pemandunya kemudian dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh pembahagi jalan di tengah jalan.
Impak pelanggaran menyebabkan tayar kereta berkenaan mengeluarkan asap sejurus selepas kejadian.
Pemilik rakaman turut meluahkan kebimbangan terhadap risiko kepada pengguna jalan raya lain, khususnya penunggang motosikal sekiranya berada berhampiran ketika kejadian berlaku.
Rakaman berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang mengecam cara pemanduan tersebut dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan.
“Polis, jangan ditahan yang empunya video. Tahan yang memandu kurang ajar tuh, polis,” kata Razham.
Seorang lagi pengguna, Mhdsyafiqhassan mendakwa kenderaan terbabit turut terlibat dalam insiden lain selepas kejadian berkenaan.
“Kat depan sana dia dah langgar polis trafik tu sebab dia lari,” katanya.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan belum dapat disahkan secara bebas setakat ini.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, azimmaksum meluahkan simpati terhadap kenderaan lain yang didakwa turut terjejas akibat kejadian tersebut.
Setakat ini, belum diketahui punca sebenar kejadian serta sama ada tindakan lanjut telah diambil terhadap pemandu terbabit. – MYBERITA
