KUALA LUMPUR – Pelakon Indonesia, Arya Saloka berdepan cabaran besar apabila dipilih menghidupkan watak Ustaz Adam, karakter ikonik yang cukup sinonim dengan Syamsul Yusof menerusi francais filem Munafik.
Arya bakal tampil sebagai watak utama dalam Munafik: Melawan Iblis, sebuah filem yang mengangkat perjuangan seorang peruqyah berdepan gangguan iblis sambil bergelut dengan trauma akibat tragedi menimpa keluarganya.
Dalam naskhah berkenaan, Ustaz Adam memilih meninggalkan kehidupan lamanya dan menjalani rutin seperti orang biasa.
Namun, dia terpaksa kembali melakukan rawatan ruqyah selepas jirannya, Fitri mengalami beberapa kejadian aneh.
Menurut Arya, persediaannya bagi menjayakan watak itu bukan sekadar melibatkan aspek lakonan, malah menuntutnya mempelajari kaedah ruqyah serta memperbetulkan bacaan ayat al-Quran dengan bimbingan ustaz.
“Saya perlu mempelajari ruqyah dan memastikan bacaan ayat al-Quran dilakukan dengan betul menerusi bimbingan ustaz,” katanya.
Babak ruqyah turut menjadi antara cabaran utama kerana memerlukan penggunaan tenaga dan emosi yang tinggi.
Watak Adam bukan sahaja perlu melawan gangguan iblis, malah berdepan trauma serta konflik dalaman yang menghantui kehidupannya.
Pengalaman Arya membawakan pelbagai karakter sebelum ini dilihat menjadi kekuatan untuk menghidupkan watak tersebut.
Antara karya lakonannya ialah Gadis Kretek, Dendam Malam Kelam, Sayap-Sayap Patah 2: Olivia dan Dilan ITB 1997.
Arya juga pernah bergandingan dengan pelakon Malaysia, Bront Palarae menerusi filem Dendam Malam Kelam, sekali gus memperlihatkan keupayaannya menjayakan karakter dengan konflik dan lapisan emosi berbeza.
Selain Arya, Munafik: Melawan Iblis turut dibintangi Acha Septriasa, Dimas Aditya, Nova Eliza, Izabel Jahja, Widi Dwinanda dan Oce Permatasari.
Barisan pelakon terbabit mengambil alih watak-watak yang dibawakan pelakon asal versi Malaysia, antaranya Nabila Huda, Fizz Fairuz dan Sabrina Ali.
Filem terbitan Unlimited Production dan Skop Productions itu turut mendapat sokongan Legacy Pictures, AZ Films serta Komet Productions, manakala Astro Shaw bertindak sebagai rakan pemasaran di Malaysia.
Munafik: Melawan Iblis dijadualkan menemui penonton di pawagam Malaysia pada 1 Oktober depan.
– MYBERITA
