KOTA BHARU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bakal mengadakan pertemuan bersama pemain industri filem dan drama termasuk pelakon bagi meneliti penerapan nilai agama serta kesesuaian kandungan karya dengan norma masyarakat tempatan.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasan Bahrom berkata, pertemuan itu yang dijangka berlangsung seawal minggu depan akan membuka ruang kepada pihak industri untuk berkongsi pandangan secara terus, selain mendapatkan penjelasan mengenai perkara yang perlu diberi perhatian dalam penghasilan karya.
Menurut beliau, pendekatan dialog itu penting supaya sebarang pandangan berkaitan kandungan karya mengambil kira nilai serta latar masyarakat Malaysia.
“Kita telah membuat keputusan untuk berjumpa dengan pemain industri filem dan pelakon untuk berbincang dan berdialog supaya apa yang hendak kita laksanakan itu mengikut tatanilai orang Melayu serta sesuai dengan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Dakwah Negara Peringkat Kelantan dan Perasmian Bangunan Baharu Yadim di sini, semalam.
Hasan berkata, perbincangan itu tidak hanya tertumpu kepada kandungan atau penggunaan bahasa, sebaliknya turut melihat bagaimana sesuatu isu dan mesej diterjemahkan menerusi karya layar.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan penyampaian sesuatu kandungan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dari segi nilai dan kefahaman.
Dalam pada itu, beliau berkata Yadim turut mempertimbangkan penganjuran muzakarah bagi memperincikan perkara berkenaan sebelum meneliti keperluan mewujudkan garis panduan yang bersesuaian.
“Semua itu menjurus kepada bagaimana kita memberi satu pandangan dan pemahaman. Kemudian mungkin satu muzakarah supaya orang memahami dan keduanya mungkin garis panduan yang boleh kita buat mengikut keadaan yang tepat dan sesuai dengan masyarakat kita,” katanya. – KOSMO!
