Selasa, 8 Julai 2025
UTAMATERKINIAerotrain KLIA kembali beroperasi 1 Julai ini

Aerotrain KLIA kembali beroperasi 1 Julai ini

- Advertisement -

SEPANG – Selepas lebih setahun dihentikan susulan isu teknikal dan kelewatan projek, Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akhirnya bakal kembali beroperasi sepenuhnya bermula 1 Julai ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selepas meninjau sendiri operasi Aerotrain bersama wakil media di KLIA pagi tadi.

Menurut beliau, Aerotrain akan memulakan semula operasinya secara rasmi pada pukul 10 pagi hari tersebut, sekali gus menandakan pemulihan salah satu kemudahan penting di lapangan terbang utama negara itu.

“Aerotrain ini telah pun melalui pelbagai fasa percubaan termasuk ujian keselamatan dan pelan tindakan kecemasan bagi memastikan ia benar-benar bersedia untuk kembali beroperasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Loke berkata Aerotrain memainkan peranan penting dalam menjamin kelancaran perjalanan penumpang serta menjaga reputasi KLIA sebagai pintu masuk utama negara.

“Sejak perkhidmatan dihentikan, pengguna terpaksa bergantung kepada bas pengantara untuk ke bangunan satelit. Ini bukan satu pengalaman ideal bagi pelancong asing dan rakyat tempatan,” tambah beliau.

Untuk fasa awal pelancaran semula, tiga gerabak Aerotrain akan digunakan secara seli bagi satu hala perjalanan dengan kapasiti maksimum 270 penumpang bagi setiap trip. Dua set gerabak akan beroperasi serentak manakala satu lagi akan disediakan dalam keadaan bersedia (‘standby’) untuk sebarang keperluan teknikal.

Loke turut meminta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) agar menyediakan pelan mitigasi menyeluruh untuk menjamin kelancaran operasi pada minggu-minggu awal pelancaran semula.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, perkhidmatan bas pengantara akan masih dikekalkan sehingga sistem Aerotrain beroperasi sepenuhnya dan tanpa sebarang gangguan,” jelasnya.

Projek naik taraf Aerotrain KLIA sebelum ini mengalami beberapa siri kelewatan sejak tahun lalu, mencetuskan rungutan dalam kalangan pengguna domestik dan antarabangsa.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN