Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAEKONOMIAi-CHA cipta rekod, buka 300 cawangan dalam setahun

Ai-CHA cipta rekod, buka 300 cawangan dalam setahun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jenama teh dan aiskrim terkenal dari Indonesia, Ai-CHA, melakar sejarah apabila berjaya membuka 300 cawangan di Malaysia dalam tempoh setahun, sekali gus mencipta dua rekod baharu yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR).

Pengiktirafan tersebut diberikan bagi kategori “Rangkaian Kedai Aiskrim Paling Banyak Dibuka Dalam Setahun” dan “Rangkaian Kedai Minuman Paling Banyak Dibuka Dalam Setahun.”

Pengarah Ai-CHA Malaysia, Vincent Ong, berkata kejayaan membuka purata satu cawangan setiap hari ini adalah hasil sokongan rakyat tempatan dan keberkesanan model francais Ai-CHA yang mesra pelabur.

“Kami telah berjaya membawa jenama ini ke kawasan bandar dan luar bandar. Kejayaan ini membuktikan bahawa gabungan semangat, pemahaman pasaran tempatan dan inovasi mampu mencipta impak besar,” katanya.

Dengan pelaburan francais kurang daripada RM100,000, serta sistem sokongan yang cekap, banyak francaisi baharu berjaya memulakan operasi dalam masa singkat. Ai-CHA turut mengekalkan harga mampu milik antara RM2 hingga RM7, menjadikannya pilihan utama pengguna muda, keluarga dan golongan peka harga.

Antara menu popular termasuk Aiskrim Sea Salt, Ai-Shake Mango Cup dan Supreme Mix Milk Tea.

Setakat ini, cawangan pertama Ai-CHA di Berjaya Times Square telah memperoleh sijil halal JAKIM, manakala cawangan lain sedang dalam proses permohonan. Produk Ai-CHA juga telah diiktiraf halal oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI).

Bagi memperkukuh kedudukan sebagai jenama mesra rakyat, Ai-CHA akan mengedarkan koleksi magnet edisi terhad ‘My Malaysia’ bermula 30 Jun 2025, yang menampilkan rekaan ikonik 13 negeri seperti Gunung Kinabalu dan bunga Rafflesia bagi Sabah.

Selain itu, Ai-CHA turut meraih Anugerah Pilihan Pengguna 2025/2026 daripada Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) berdasarkan penilaian terhadap kualiti cawangan, kepuasan pelanggan dan pematuhan piawaian operasi. Anugerah disampaikan oleh Timbalan Presiden MTPN, Prof. Jericho Tang Kit Wai.

Bagi meraikan pencapaian luar biasa ini, Ai-CHA menganjurkan acara istimewa bertemakan “Ai-CHA Love You 300X” selama empat hari bermula hari ini di Fahrenheit 88, Bukit Bintang. Antara tarikan utama ialah pameran 300 patung penguin CACHA, maskot ceria Ai-CHA, serta pelbagai aktiviti dan hadiah menarik.

Timbalan Pengurus Besar Ai-CHA Global, Danny Tahardi, menyifatkan kejayaan ini sebagai pencapaian penting dalam industri F&B yang kompetitif.

“Mencapai 300 cawangan dalam tempoh setahun adalah kejayaan besar. Ia bukti kepercayaan pengguna terhadap jenama kami, dan kami akan terus mencipta lebih banyak pengalaman manis bersama rakyat Malaysia,” katanya.

Ai-CHA juga bercadang untuk memperkenalkan menu snek panas seperti ayam goreng dan kentang goreng di cawangan terpilih dalam masa terdekat.

Acara kemuncak hari ini turut menampilkan aktiviti interaktif, pemberian hadiah eksklusif, sesi fotografi bersama maskot CACHA, serta peluang memenangi barangan edisi terhad dengan menyertai kempen media sosial #AiCHA300Stores.

Setakat ini, Ai-CHA beroperasi di sembilan negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Laos, Filipina, Kemboja, Myanmar dan Brunei.

“Kami sedang membina sebuah jenama yang dekat di hati rakyat Malaysia,” ujar Ong. “Dan ini hanyalah permulaan.”

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN