KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Aisyah Aziz selamat melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya, Dr. Mohd. Fakhrudin Amir Mohd Ismail dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di The Cove, Geylang Road, Singapura, hari ini.
Aisyah atau nama penuhnya Nur Aishah Aziz, 31, merupakan adik kepada penyanyi Aliff Aziz dan kini bergelar isteri kepada abang kepada pendakwah selebriti PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, menjadikan mereka berbiras.
Perkhabaran gembira ini diumumkan menerusi hantaran Facebook oleh stesen radio tempatan, Mediacorp Warna 942, yang turut mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin baharu tersebut.
“Alhamdulillah, kini mereka bergelar suami dan isteri.Kami mengucapkan selamat pengantin baru kepada Aisyah dan suami.Semoga dapat membina keluarga yang penuh sakinah, mawaddah dan rahmah, insya-Allah,” jelas kenyataan itu.
Majlis akad nikah dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.
Terdahulu, Aisyah pernah memaklumkan bahawa dia bakal mendirikan rumah tangga selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama seorang jejaka bukan dalam kalangan penggiat seni.
Tahniah diucapkan kepada Aisyah dan Dr. Fakhrudin atas ikatan yang dibina. Semoga mahligai yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga.