KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terlanggar sekumpulan gajah liar yang sedang melintas jalan dalam kejadian di Kilometer 50, Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 9.20 malam ketika pasangan berkenaan yang masing-masing berusia 40 dan 38 tahun sedang dalam perjalanan dari Kota Tinggi menuju ke Mersing menaiki sebuah Perodua Alza.
“Setiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba lebih kurang empat ekor gajah melintas jalan. Mangsa tidak sempat mengelak menyebabkan bahagian hadapan kenderaan mereka remuk akibat pelanggaran tersebut. Bagaimanapun, kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sejurus selepas insiden itu, kumpulan gajah terbabit dilihat kembali masuk ke kawasan hutan berhampiran.
Tambahnya, pasangan tersebut telah membuat laporan polis untuk tujuan tuntutan insurans.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan melanggar gajah liar di lokasi kejadian, disusuli bunyi kuat dipercayai daripada haiwan tersebut yang berkemungkinan mengalami kecederaan.
Difahamkan, laluan terbabit gelap dan kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama berlaku di kawasan tersebut, yang sememangnya menjadi lokasi laluan haiwan liar berkenaan untuk melintas jalan.
Pihak berkuasa menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu di laluan berisiko, khususnya pada waktu malam, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.