SHAH ALAM — Peserta Big Stage Alpha, Araff, menzahirkan rasa syukur apabila berjaya melangkah ke pentas final program realiti tersebut selepas mempersembahkan lagu Hijab Rindu nyanyian asal Black Hanifah dalam konsert separuh akhir yang berlangsung di Shah Alam Royal Theater, malam tadi.
Penyanyi muda berasal dari Sungai Petani, Kedah itu menyifatkan kejayaan mara ke final sebagai satu nikmat yang tidak pernah disangkakan.
“Saya rasa sangat bersyukur dengan kuasa Tuhan. Siapa sangka budak yang dulu suka duduk di tepi jalan, main motor, sekarang berdiri di pentas final Big Stage. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat,” katanya ketika ditemui MYBERITA.
Araff turut mendedahkan bahawa penyertaannya dalam Big Stage Alpha pada awalnya bukan atas kehendak diri sendiri, sebaliknya hasil dorongan dan harapan tinggi daripada keluarga.

“Sebenarnya, keluarga yang paksa saya, bukan paksa dalam erti kata negatif, tapi mereka betul-betul nak tengok saya berjaya. Walaupun pada mulanya saya menolak dan berlaku sedikit pertengkaran dengan ibu bapa, akhirnya saya akur,” jelasnya.
“Melihat wajah kecewa mereka ketika itu membakar semangat saya. Saya cakap pada diri, ‘okay, let’s go. Aku buktikan’. Dan alhamdulillah, inilah hasilnya.”
Anak kelima daripada enam beradik itu mengakui dirinya dahulu seorang yang kurang berdisiplin dan tidak fokus, namun kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapanya menjadi pendorong utama untuk mengubah diri dan mengejar cita-cita dalam dunia seni.
“Saya sorang saja dalam keluarga yang ambil bidang nyanyian. Tapi mak dan abah tak pernah putus asa beri harapan. Inilah yang saya dapat balas untuk mereka,” tambahnya.
Araff turut mengakui cabaran utama dalam meneruskan perjuangan di pentas pertandingan adalah dari segi kewangan. Namun, dia tetap tekad meneruskan usaha dengan apa yang ada.
“Saya bukan datang daripada keluarga senang. Kekangan kewangan itu memang ada, tapi saya percaya rezeki Allah. Ibu dan abah pun dah benarkan saya ceburi dunia ini, jadi saya akan teruskan.”
Menyentuh mengenai harapan ke hadapan, Araff menyatakan impiannya kini lebih besar — bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menjadi seorang artis yang beretika dan merendah diri.
“Kalau ada rezeki dalam final nanti, saya mahu realisasikan impian untuk menjadi artis yang baik dan bertawaduk. Saya percaya pada laluan yang Tuhan buka untuk saya.”
Ketika ditanya soal cinta, Araff menjelaskan bahawa fokus utamanya kini adalah kepada kerjaya seni dan tanggungjawab terhadap keluarganya.
“Saya masih muda dan belum terfikir untuk kahwin. Islam pun ajar kahwin dulu baru bercinta. Saya tak tolak jodoh, cuma sekarang saya lebih selesa ‘wait and see’.”
Araff bakal berentap dalam pentas akhir Big Stage Alpha bersama beberapa peserta lain minggu ini, di mana nasib dan prestasinya akan menjadi tumpuan ramai, khususnya peminat tempatan dan antarabangsa.