KUALA LUMPUR – Filem aksi epik Blood Brothers: Bara Naga terus mencipta fenomena apabila mencatat kutipan pembukaan tertinggi bagi tahun ini, dengan jumlah RM45.7 juta dalam tempoh hanya 11 hari tayangan termasuk tayangan awal.
Perkara itu diumumkan oleh pihak penerbit, Primeworks Studios menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram rasmi mereka, hari ini.
“Filem Blood Brothers: Bara Naga masih terus mengutip kutipan pembukaan tertinggi tahun ini, RM45.7 Juta dalam 11 hari tayangan & tayangan awal.
“Terima kasih atas sambutan luar biasa yang menggegarkan pawagam!” menurut kenyataan tersebut.
Filem arahan penuh aksi itu mula ditayangkan pada 10 April lalu dan mendapat sambutan hangat di seluruh negara, termasuk beberapa tayangan khas yang dilaporkan penuh sejak hari pertama.
Pencapaian ini meletakkan Blood Brothers: Bara Naga sebagai antara filem tempatan paling berjaya tahun ini, sekali gus memberi sinar kepada industri perfileman tempatan yang kini kembali rancak selepas pandemik.