BEIJING – China mengumumkan pelaksanaan ‘Visa ASEAN’ yang bakal ditawarkan kepada rakyat dari 10 negara anggota ASEAN serta Timor-Leste sebagai negara pemerhati ASEAN, bagi mempermudah urusan perjalanan dan pertukaran rakyat antara China dan Asia Tenggara.
Pengumuman itu dibuat oleh Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian dalam satu sidang media di sini pada Selasa.
Menurut Lin, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala dan mempercepat pembentukan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN, yang disifatkannya semakin menunjukkan hasil positif sejak beberapa tahun lalu.
“Pertukaran rakyat antara China dan negara-negara Asia Tenggara sangat erat.
“Langkah mempermudah perjalanan ini adalah hasrat bersama semua pihak,” katanya.
Sebagai tambahan kepada pengecualian visa yang sedia ada antara China dengan Malaysia, Singapura dan Thailand, serta program “Visa Lancang-Mekong” untuk negara-negara di lembangan Sungai Mekong, visa ASEAN akan menawarkan kemudahan lebih komprehensif.
Visa ini menawarkan visa pelbagai kemasukan selama lima tahun kepada pemohon yang layak untuk tujuan lawatan perniagaan ke China.
Ia turut meliputi pasangan dan anak-anak mereka, dengan tempoh maksimum tinggal di China sehingga 180 hari bagi setiap kemasukan.
Langkah ini dilihat sebagai strategi diplomatik untuk memperkukuh integrasi serantau dan merangsang pertumbuhan ekonomi serta pelaburan antara China dan Asia Tenggara.