KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Mimi Lana, mendedahkan bahawa dia dan suami, Syafiq Kyle, tidak meletakkan sebarang syarat terhadap kerjaya mereka sebagai pelakon walaupun selepas mendirikan rumah tangga.
Mimi, ketika ditemui di tayangan perdana drama First Wives di TGV KLCC pada malam Rabu, menjelaskan bahawa hubungan mereka yang telah lama terjalin sebelum ini memudahkan mereka untuk saling memahami tanpa perlu menetapkan peraturan khusus mengenai kerjaya masing-masing.
“Kami tidak meletakkan sebarang syarat kerana kami sudah lama mengenali antara satu sama lain. Namun, kami juga perlu ada common sense. Sebagai manusia, kita boleh fikir sendiri apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Mana yang baik, mana yang buruk. Kami sudah berbincang perkara ini sebelum berkahwin lagi, jadi tiada masalah,” katanya kepada MYBERITA.
Ditanya mengenai pembahagian masa antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai isteri, Mimi mengakui bahawa setakat ini dia tidak menghadapi masalah dalam menguruskan kedua-duanya, memandangkan perkahwinan mereka masih baru, kurang dari dua tahun.
“Setakat ini, Alhamdulillah, tiada masalah. Perkahwinan kami pun baru, belum sampai dua tahun lagi. Saya pun belum mula penggambaran lagi, jadi doakan saya semua berjalan lancar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mimi bakal membintangi drama terbaharu berjudul First Wives, yang turut menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Zeera Azizi, Melissa Campbell, Malek Mccrone, Charles Robert, dan Andy Teh.
Drama yang mempunyai lapan episod itu dijadualkan untuk tayangan pada 11 April ini menerusi platform penstriman On Demand, Astro GO dan sooka.