“Rumah itu memang automatik ditutup sebab pengusaha ditahan polis dan kanak-kanak dibawa JKM.
“JKM sedang uruskan pemeriksaan kesihatan ke atas kanak-kanak (penghuni) bersama pihak hospital dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, laporan media mendedahkan penderitaan 18 anak yatim yang dipercayai dianiaya di rumah perlindungan berkenaan, termasuk dikurung dalam ruang sempit, sebelum mereka diselamatkan oleh pihak berkuasa hari ini.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari memaklumkan bahawa kesemua kanak-kanak yang diselamatkan itu berusia antara 5 hingga 17 tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan bahawa sepasang suami isteri yang merupakan pemilik serta penjaga rumah kebajikan terbabit telah ditahan polis.
“Pasangan warga tempatan berusia 66 dan 68 tahun itu ditahan pada pukul 3.20 petang. Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat esok,” katanya.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan penderaan kanak-kanak, manakala siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis bersama agensi berkaitan. – MYBERITA








