Khamis, 25 Jun 2026
spot_img
HomeNasionalDBKL nafi dakwaan tidak telus, proses roboh struktur Desa Pandan ikut prosedur

DBKL nafi dakwaan tidak telus, proses roboh struktur Desa Pandan ikut prosedur

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan segala proses yang dikaitkan dengan insiden provokasi semasa operasi meroboh struktur di Desa Pandan telah dilaksanakan secara telus, teratur dan berpandukan prosedur sedia ada.

Menurut kenyataan rasmi DBKL, proses itu turut melibatkan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk persatuan peniaga dan individu yang menjalankan perniagaan di kawasan terbabit.

“DBKL kekal komited untuk terus melaksanakan pembangunan bandar secara inklusif dan bertanggungjawab demi kesejahteraan warga kota Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu.

Jelas DBKL, kerja-kerja menaik taraf Jalan 2/76 di Desa Pandan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan itu dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur, keselamatan dan kelancaran trafik demi keselesaan warga kota.

Bagi membolehkan projek tersebut dilaksanakan, DBKL telah menyelaraskan proses pengosongan kawasan melibatkan sembilan tapak perniagaan yang telah dibatalkan lesen operasinya bermula 10 Januari 2025.

“Peniaga yang terlibat telah dimaklumkan secara rasmi pada 15 Januari dan diminta mengosongkan kawasan dalam tempoh ditetapkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebagai langkah akhir, notis pengosongan dikeluarkan pada 4 Julai 2025 sebelum kerja-kerja perobohan dijadualkan bermula 15 Julai lalu. Bagaimanapun, operasi tersebut terpaksa ditangguhkan susulan kekecohan yang berlaku baru-baru ini.

DBKL bagaimanapun yakin pelaksanaan projek menaik taraf itu akan membawa manfaat jangka panjang kepada komuniti Desa Pandan dari segi kemudahan awam, keselamatan dan peningkatan taraf hidup.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
Google search engine