Jumaat • 13 Jun 2025
UTAMAPENDIDIKANHampir 500,000 pelajar mengikuti TVET seluruh negara - TPM

Hampir 500,000 pelajar mengikuti TVET seluruh negara – TPM

- Advertisement -

AYER KEROH – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menunjukkan peningkatan signifikan apabila jumlah pelajar berdaftar di 1,398 institusi TVET seluruh negara kini mencecah 436,285 orang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan bidang TVET semakin mendapat tempat dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan lebih separuh daripadanya memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran.

“Tahun lalu sahaja, 212,022 pelajar iaitu 53.56 peratus lepasan SPM memilih untuk menyambung pengajian di institusi TVET.

“Bagi pengambilan Julai ini, sebanyak 140,027 permohonan telah diterima melalui platform UP_TVET,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2025 di MITC, di sini hari ini.


Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara turut mengucapkan tahniah kepada enam universiti dalam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) atas usaha mereka menyokong pembangunan tenaga mahir dan jurutera tempatan.

“Kita akan selaraskan pengambilan pelajar bagi memenuhi sasaran Perdana Menteri untuk melahirkan 60,000 jurutera tempatan,” ujarnya.

Bagi tahun ini, katanya, kerajaan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan keusahawanan berasaskan kemahiran, atau teknopreneurship, untuk melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja mahir secara teknikal tetapi mampu menjana pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan.

Melalui kerjasama dengan Tekun Nasional di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta menerusi Skim Pembiayaan TVET.

“Sehingga April lalu, RM9.9 juta telah disalurkan kepada 370 usahawan TVET di seluruh negara.

“Ini bukti bahawa TVET bukan sekadar laluan ke pekerjaan, tetapi pintu kepada pendidikan berdikari dan pemilikan perniagaan,” katanya.


Beliau menggesa semua graduan TVET supaya memanfaatkan peluang yang disediakan termasuk pembiayaan dan bimbingan, untuk menyumbang kepada ekonomi negara sebagai usahawan berjaya.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN