SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan layanan kurang memuaskan terhadap pesakit dan waris di Hospital Jempol seperti yang tular dalam satu rakaman video baru-baru ini.
Pengarah JKNS, Dr Zuraida Mohamed, memaklumkan bahawa satu Jawatankuasa Siasatan Bebas telah ditubuhkan khusus bagi menyiasat dakwaan tersebut secara menyeluruh.
“Siasatan ini akan merangkumi pelbagai aspek untuk mengenal pasti sama ada dakwaan itu berasas atau sebaliknya. Pada masa sama, kami turut akan mengenal pasti sebarang isu atau kelemahan yang timbul serta penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pihak Hospital Jempol,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Dr Zuraida, pihaknya mengambil serius setiap aduan yang diterima dan komited untuk memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan awam sentiasa ditambah baik demi kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, MYBERITA melaporkan mengenai seorang ibu pesakit yang didakwa terpaksa menunggu selama 10 jam tanpa menerima sebarang ubat ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut.
JKNNS memohon semua pihak memberi ruang kepada jawatankuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil sebelum sebarang kesimpulan dibuat.