KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tema “Kaamatan Montok Toinsanan!!” atau Kaamatan Untuk Semua sempena sambutan Pesta Kaamatan ke-65 adalah lambang kekayaan budaya serta ketahanan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Menurut Anwar, tema tersebut mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan rakyat negeri itu, yang hidup saling hormat-menghormati dan bekerjasama tanpa mengira latar belakang.
“Tema ini menggambarkan eratnya hubungan antara kaum di Sabah. Namun tidak semua benar-benar memahami serta menghayati nilai perpaduan dan keharmonian yang seharusnya menjadi asas dalam menjalin hubungan sesama manusia, tanpa mengira kedudukan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa elemen kebersamaan dapat dilihat melalui hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.
“Saya memberikan contoh bahawa kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sentiasa menjadi teras dalam memastikan suara dan keperluan rakyat didengari dan dilaksanakan sebaiknya,” ujarnya.
Tambah beliau, semoga segala keperluan rakyat terus diberi keutamaan dalam pelaksanaan dasar dan program kerajaan demi kesejahteraan semua pihak.
Terdahulu, Anwar hadir merasmikan Majlis Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kadazandusun (KDCA), Kota Kinabalu pagi tadi.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyatakan komitmen kerajaan dalam meraikan dan menghargai kepelbagaian budaya sebagai aset penting dalam pembinaan negara bangsa “Kaamatan Montok Toinsanan!!, Kaamatan Untuk Semua.”