Jumaat • 13 Jun 2025
UTAMANASIONALKPM ambil serius kewujudan halaman pedofilia libatkan murid sekolah

KPM ambil serius kewujudan halaman pedofilia libatkan murid sekolah

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius laporan media mengenai kewujudan halaman pedofilia di media sosial yang memaparkan gambar dan kandungan melibatkan murid sekolah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KPM menegaskan bahawa kewujudan kandungan lucah dan tidak bermoral melibatkan kanak-kanak merupakan isu yang amat membimbangkan dan tidak boleh dikompromi. Ia perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa dan diambil tindakan tegas.

“Kandungan sebegini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menggugat keselamatan dan kesejahteraan murid-murid di negara ini. Usaha membanteras penyalahgunaan media sosial seperti ini perlu dilakukan secara menyeluruh oleh semua pihak,” kata kenyataan itu.

Sebagai langkah pencegahan, KPM telah memperkenalkan modul Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran kesihatan reproduktif dalam kalangan murid, guru dan ibu bapa. Modul ini akan diperkasakan lagi apabila tempoh masa pengajarannya ditambah dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.

KPM turut menegaskan bahawa semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi menangani isu gangguan seksual dalam kalangan warga sekolah.

“Khidmat sokongan psikososial juga akan terus diperkukuhkan bagi memberikan bantuan dan sokongan kepada murid yang terkesan,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, KPM turut menggesa ibu bapa agar memainkan peranan proaktif di rumah dengan memberi pendidikan awal kepada anak-anak berkaitan keselamatan diri dan bahaya gangguan seksual.

“Mendidik dan melindungi anak-anak daripada ancaman seksual bukan hanya tanggungjawab sekolah, malah memerlukan kerjasama erat daripada ibu bapa dan komuniti. Maruah dan keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama,” tambah kenyataan tersebut.

KPM menyeru semua pihak untuk terus peka dan bertindak segera jika mengesan sebarang bentuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak sama ada di alam maya mahupun dunia sebenar.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN