KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan penghinaan ex parte yang difailkan oleh Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd terhadap lapan pihak termasuk Kerajaan Malaysia, Kementerian Komunikasi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, serta beberapa individu dan syarikat lain.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak plaintif gagal membuktikan kes prima facie dalam permohonan tersebut.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Datuk Fahmi Fadzil dan Kerajaan Malaysia, serta RM10,000 kepada syarikat LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master.
Peguam Vinayak Sri Ram mewakili pihak plaintif manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pihak defendan daripada kerajaan. Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar pula mewakili pihak-pihak dari LSH.
Permohonan itu difailkan susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei lalu yang menolak rayuan bekas pengendali Menara KL dan anak syarikatnya untuk mendapatkan injunksi sementara menghentikan penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master Sdn Bhd.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak permohonan injunksi ad interim untuk menyerahkan semula konsesi pengurusan Menara KL kepada plaintif. Hakim Roz Mawar menyatakan bahawa permohonan itu kini bersifat akademik kerana kontrak asal konsesi telah tamat pada Mac 2022.
Mahkamah turut memerintahkan bayaran kos tambahan sebanyak RM20,000 kepada semua defendan terlibat dan menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh prosiding seterusnya.