SEPANG – Pasukan bola sepak terkenal dari England, Manchester United, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi bagi memulakan siri jelajah pra-musim mereka di Asia Tenggara.
Skuad kendalian Ruben Amorim itu tiba menaiki pesawat Malaysia Airlines dan dijadualkan menentang pasukan pilihan ASEAN All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu ini, sebagai sebahagian daripada kempen memperkukuh hubungan kelab dengan jutaan peminat di rantau Asia.

Kunjungan ini merupakan yang pertama sejak lawatan terakhir mereka ke Kuala Lumpur pada 2009, dan ke Hong Kong pada 2013. Walaupun jarang berkunjung ke rantau ini sejak itu, ikatan erat antara kelab berpangkalan di Old Trafford itu dan penyokongnya di Asia kekal kukuh.
Ketibaan skuad Red Devils ke benua Asia berlaku hanya beberapa jam selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-15 dengan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di Old Trafford. Gol jaringan Amad Diallo dan Christian Eriksen dalam perlawanan itu berjaya menyelamatkan United daripada mencatat penamat musim paling buruk dalam sejarah penyertaan mereka di liga utama England.

Difahamkan, kelab itu menerima bayaran sekitar £8 juta (RM45.74 juta) bagi jelajah ini, termasuk aksi di Kuala Lumpur dan satu lagi perlawanan menentang pasukan Hong Kong yang dijadual berlangsung dua hari kemudian di Stadium Hong Kong.
Namun begitu, jumlah itu dilihat kecil jika dibandingkan dengan kerugian hampir £85 juta (RM486.06 juta) akibat kegagalan kelab itu melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, setelah tewas kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa.

Kehadiran Manchester United dijangka menarik ribuan peminat tempatan dan antarabangsa, sekali gus memberi lonjakan kepada industri pelancongan dan sukan negara. Peminat boleh menjangkakan aksi menarik daripada barisan bintang United yang ingin menebus kekecewaan musim lalu serta memberikan persembahan terbaik menjelang musim baharu.
