Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURANNidji terharu 'Teman Sejati' jadi lagu 'OST' filem animasi Ejen Ali The...

Nidji terharu ‘Teman Sejati’ jadi lagu ‘OST’ filem animasi Ejen Ali The Movie 2

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kumpulan pop rock terkenal dari Indonesia, Nidji, meluahkan rasa terharu dan bangga apabila single penuh emosi mereka berjudul ‘Teman Sejati’ dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) bagi filem animasi popular, Ejen Ali The Movie 2.

Pemilihan lagu ini menandakan kerjasama pertama Nidji dengan produksi filem animasi, sekaligus membuka lembaran baharu buat kumpulan yang dikenali dengan lagu-lagu bermakna dan bertenaga.

Menurut pemain gitar utama merangkap penulis lagu tersebut, Andi Ariel Harsya, ‘Teman Sejati’ telah ditulis seawal tahun 2019 dan tidak disasarkan sebagai lagu tema mana-mana filem ketika itu.

“Sebenarnya lagu ini sudah ditulis sejak 2019. Jadi, apabila kami dihubungi pihak produksi filem dan diminta untuk menjadikan lagu ini sebagai OST, kami benar-benar rasa dihargai,” ujar Andi dalam sidang media di Balai Berita, hari ini.

Tambahnya lagi, pemilihan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dan dianggap sebagai satu ‘campur tangan ilahi’.

Dengan melodi yang menyentuh jiwa serta lirik yang menggambarkan erti persahabatan, keberanian dan semangat kental, lagu ini dilihat selari dengan tema utama dalam Ejen Ali The Movie 2.

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah ahli kumpulan Nidji yang lain iaitu Yusuf Ubay, Randy Danishta, Ramadhista Akbar, Adri Perkasa dan Andro Regantoro.

Sementara itu, penggubah skor filem, Azri Yunus, menjelaskan bahawa muzik memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman sinematik sesebuah filem.

“Apabila menghasilkan sesebuah filem, 50 peratus daripadanya adalah cerita, manakala selebihnya datang daripada bunyi – termasuk muzik dan efek bunyi,” katanya.

“Sebaik mendengar lagu ini buat kali pertama, saya terus tahu ia pilihan yang tepat. Dari segi lirik dan melodinya, ia benar-benar mencerminkan semangat filem ini.”

Azri bersama pengarah filem dan pengasas WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, mengambil pendekatan teliti dengan menyusun lagu ini dalam beberapa babak penting melalui sesi perbincangan papan cerita.

Filem Ejen Ali The Movie 2 yang ditayangkan sejak 22 Mei lalu, menyaksikan watak utama, Ali, dipilih menyertai misi berisiko tinggi di bawah program elit SATRIA, yang menampilkan sut mecha canggih dengan bantuan kecerdasan buatan.

Berlatarkan kota futuristik Cyberaya, misi terbaru ini membawa Ali ke arah konflik lebih gelap apabila bekas ejen, Rizwan, mengajaknya menyiasat dalang sebenar di sebalik ancaman yang kian memuncak.

Filem ini merupakan kerjasama antara Primeworks Studios, WAU Animation dan Komet Productions.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN