Isnin, 21 Julai 2025
UTAMANASIONALNik Nazmi menyusul umum letak jawatan menteri

Nik Nazmi menyusul umum letak jawatan menteri

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri berkuat kuasa 4 Julai 2025, susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Dalam kenyataan media, Ahli Parlimen Setiawangsa itu memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan mula bercuti bermula esok sehingga tarikh peletakan jawatan itu berkuat kuasa.

Menurut beliau, keputusan untuk melepaskan jawatan dibuat selepas mengambil kira hakikat bahawa kedudukannya sebagai Naib Presiden KEADILAN sebelum ini merupakan antara pertimbangan utama pelantikannya ke Kabinet.

Justeru, kegagalannya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti mendorongnya untuk berundur secara terhormat.

Nik Nazmi sebelum ini menerajui dua kementerian yang berkaitan dengan alam sekitar sejak Disember 2022, bermula sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, sebelum portfolio kementerian disusun semula pada Disember 2023.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau mencatat beberapa pencapaian penting seperti pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, peningkatan ketelusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), serta penyediaan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP), menjadikan Malaysia antara negara terawal mengemukakan pelan tersebut di peringkat antarabangsa.

Beliau turut mengetuai usaha melaksanakan penyasaran subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga, serta memperkenalkan Tariff Setting Mechanism dalam sektor air.

Di samping itu, pasukan beliau juga telah merangka Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari sifar dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen.

Hari yang sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli turut mengumumkan peletakan jawatan daripada Kabinet selepas kekalahan dalam pemilihan PKR.

Dalam kenyataannya hari ini, Rafizi memaklumkan bahawa surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Perdana Menteri dan beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga tarikh peletakan jawatannya berkuat kuasa pada 16 Jun depan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA