Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAPOLITIKPemilihan barisan kepimpinan baharu PKR mula pagi ini

Pemilihan barisan kepimpinan baharu PKR mula pagi ini

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 yang berlangsung hari ini memberi tumpuan kepada proses pemilihan barisan kepimpinan baharu parti bagi penggal 2025 hingga 2028.

Pemilihan melibatkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, dengan seramai 32,030 perwakilan mengundi secara fizikal dan dalam talian bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Proses undian secara fizikal dilaksanakan di dua lokasi utama iaitu Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay di Johor Bahru, manakala pengundian bagi Sabah dan Sarawak dijalankan di ITCC, Penampang dan Pusat Konvensyen Penview, Kuching.

Bagi perwakilan biasa dan tambahan, pengundian dilakukan menerusi aplikasi ADIL dalam talian secara serentak.

Seramai 251 calon bertanding dalam pemilihan kali ini, membabitkan 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon AMK, dan 62 calon Wanita PKR.

Jawatan Presiden PKR tidak dipertandingkan apabila penyandang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal tanpa cabaran.

Namun, tumpuan utama terarah kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden yang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Jawatan Naib Presiden pula menyaksikan 12 calon menawarkan diri, termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Seri Amirudin Shari.

Di peringkat sayap, Muhammad Kamil Abdul Munim menang tanpa bertanding sebagai Ketua AMK.

Sementara itu, jawatan Ketua Wanita menyaksikan pertembungan antara Fadhlina Sidek dan Rodziah Ismail.

Ketua AMK dan Ketua Wanita masing-masing menyampaikan ucapan dasar pada pagi tadi sebelum disusuli sesi perbahasan serta penggulungan oleh barisan pimpinan.

Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan perasmian Kongres Nasional malam ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.

Keputusan rasmi pemilihan dijangka diumumkan selewat-lewatnya esok, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN