KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat tiba di Moscow pada jam 8:20 petang tadi bagi memulakan rangka lawatan rasmi ke Persekutuan Rusia sehingga Jumaat ini.
Menerusi ciapan di laman sosial X, Anwar memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan peringkat tertinggi bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin.
Pertemuan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan persahabatan dua hala serta merintis kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.
“Saya juga dijadualkan bertemu beberapa pemimpin industri utama Rusia untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia,” katanya.
Selain itu, Anwar turut akan menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World dan KazanForum di Kazan, sebuah platform yang menghimpunkan pemimpin dunia Islam bagi membincangkan pelbagai isu kerjasama dan pembangunan bersama.
Beliau turut memohon doa rakyat agar misi yang digalas bersama delegasi Malaysia berjaya memberi manfaat besar kepada negara.
“Doakan misi saya bersama delegasi Malaysia berjaya menggalas amanah besar memangkin pertumbuhan ekonomi, memperluas jaringan strategik serta membawa limpahan kemakmuran untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.