Selasa, 8 Julai 2025
UTAMANASIONALPM Anwar terima kunjungan hormat Gabenor Guangxi, perkukuh hubungan Malaysia-China

PM Anwar terima kunjungan hormat Gabenor Guangxi, perkukuh hubungan Malaysia-China

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi menerima kunjungan hormat daripada Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Lan Tianli bersama delegasi di pejabat beliau di Putrajaya.

Dalam satu kenyataan menerusi hantaran Facebook, Anwar menyifatkan lawatan itu sebagai bukti hubungan erat dan jalinan lama antara Malaysia dan China, khususnya Guangxi yang merupakan rakan wilayah penting.

“China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-16 berturut-turut pada 2024 dengan jumlah dagangan mencecah USD106.04 bilion (RM484.12 bilion),” katanya.

Menurut beliau, Guangxi sebagai pintu masuk utama China ke ASEAN memainkan peranan strategik dalam memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan China.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut memaklumkan Malaysia sedang menantikan Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 April ini.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama baharu termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan digital. Malaysia menyasarkan untuk menjadi hab kepimpinan AI serantau dan saya menjemput syarikat AI terkemuka dari China untuk mempertimbangkan penubuhan ibu pejabat serantau mereka di sini,” katanya.

Turut dibincangkan ialah kemajuan Inisiatif “Dua Negara, Taman Berkembar” yang merangkumi Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), yang menurut Anwar terus menunjukkan pencapaian positif.

“Setakat ini, 19 projek telah diluluskan bernilai RM25.68 bilion dengan jangkaan pewujudan lebih 10,000 pekerjaan. Daripada jumlah itu, sebanyak RM20.77 bilion telah direalisasikan dan 7,572 pekerjaan telah diwujudkan,” jelas beliau.

Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar hubungan diplomatik antara Malaysia dan China terus berada di tahap kematangan yang tinggi serta mampu mengharungi sebarang cabaran pada masa hadapan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN