PULAU PINANG – Suasana penuh kemeriahan dan keakraban mewarnai Rumah Terbuka Aidilfitri Perkumpulan Siswa Siswi Pahang Darul Makmur (PERDAMA), Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung meriah di Bilik Kaca, Perpustakaan Hamzah Sendut 1 pada Ahad.
Dengan bertemakan “Raya Cara Kita”, majlis yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar Pahang ini bukan sekadar meraikan lebaran, malah menjadi lambang perpaduan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan anak-anak perantauan.
Yang Dipertua PERDAMA, Azrin Hj Samah, dalam ucapannya, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran majlis ini yang disifatkan sebagai simbol kekuatan ukhuwah dan jati diri pelajar Pahang di USM.
“Raya Cara Kita membawa maksud bagaimana kita, sebagai anak Pahang di rantauan, menyambut Aidilfitri dengan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, tolong-menolong dan menjaga adat budaya. Inilah wajah sebenar kita, dan saya amat bangga melihat semangat ini terus mekar,” katanya penuh semangat.
Bagi para pelajar, majlis ini bukan sahaja mengubat rindu kepada kampung halaman, tetapi juga menjadi ruang terbaik untuk memperkukuh persaudaraan dan semangat kenegerian yang harmoni.