KUALA LUMPUR – Filem animasi aksi tempatan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih kutipan RM15.3 juta hanya dalam tempoh empat hari tayangan, termasuk kutipan daripada tayangan awal bermula 22 Mei lalu.
Filem terbitan WAU Animation dan Primeworks Studios itu kini ditayangkan di 161 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei, membuktikan bahawa kehebatan adiwira cilik negara, Ejen Ali, masih mendapat tempat di hati peminat.
Pengarah filem merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, sokongan luar biasa daripada penonton sejak sesi tayangan awal hingga ke tayangan rasmi memberikan semangat baharu kepada pasukan produksi.
“Alhamdulillah, kami sangat terharu dan bersyukur atas sambutan hebat daripada peminat. Komen dan maklum balas positif penonton menjadi inspirasi untuk kami terus menghasilkan karya animasi yang lebih berkualiti di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
EATM2 dijangka meraih kutipan lebih tinggi apabila musim cuti sekolah bermula pada 29 Mei ini, dengan laporan menunjukkan tiket terus laris di pelbagai lokasi dan pawagam menambah sesi tayangan bagi memenuhi permintaan.
Filem ini membawa penonton kembali ke kota futuristik Cyberaya, di mana Ejen Ali kini menyertai program elit SATRIA yang menggabungkan manusia dan kecerdasan buatan (AI). Misi kali ini lebih mencabar apabila munculnya Neonimus, penggodam misteri yang penuh dendam.
Kejayaan ini sekaligus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah industri animasi tempatan dan mengukuhkan kedudukan Ejen Ali sebagai jenama animasi kebanggaan negara.