Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURAN‘Saya rasa ditikam belakang’, Allan Andresn dakwa dikhianati Ridhwan Azman

‘Saya rasa ditikam belakang’, Allan Andresn dakwa dikhianati Ridhwan Azman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bintang Big Stage Alpha, Allan Andresn, tidak dapat menahan rasa kecewa apabila rakan seperjuangannya, Ridhwan Azman, mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah berniat untuk menjatuhkan kariernya.

Allan, yang sudah menganggap Ridhwan sebagai seorang sahabat rapat, menyatakan bahawa dia terasa seperti ‘ditikam belakang’ dengan tindakan tersebut.

“Ridhwan dan saya, bersama Que, sentiasa bekerjasama dalam Big Stage Alpha. Saya amat terkejut dan terkilan dengan apa yang berlaku, terutama kerana kami sangat rapat. Kalau orang luar yang saya tidak kenal, mungkin saya tak kisah, tapi kerana kami sudah seperti keluarga, ini sangat menyakitkan,” katanya.

Menurut Allan atau nama sebenarnya Joan Allan Anderson, 33, niat utamanya datang ke Malaysia adalah untuk mencari rezeki dan membina kerjaya melalui pertandingan tersebut. 

Namun, dia tidak menyangka kontroversi ini berlaku, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan seseorang yang dianggapnya sebagai teman baik.

“Saya datang ke Malaysia untuk mencari rezeki dalam pertandingan ini. Kita tak tahu macam mana cara fikir netizen di Malaysia. Mungkin marketing seperti ini berkesan di Malaysia, tapi di negara lain, ia dianggap jahat dan boleh menjejaskan reputasi seseorang,” jelasnya.

Sebagai seorang penulis lagu, Allan mengakui kebimbangan mengenai impak kontroversi ini terhadap peluang kerjasama dengan artis-artis lain pada masa depan.

“Cuba bayangkan, saya adalah seorang penulis lagu. Bila perkara ini berlaku, mungkin beberapa artis akan takut untuk bekerjasama dengan saya selepas ini,” tambahnya.

Meskipun begitu, Allan mengakui bahawa dia tetap bersikap profesional dan terbuka untuk bekerjasama dengan Ridhwan Azman, tetapi dia merasa sedikit trauma, khususnya jika insiden yang sama berulang.

“Saya tetap akan bekerjasama secara profesional dengan Ridhwan. Cuma, saya sedikit trauma kalau diberikan idea, takut nanti dia cakap sesuatu di belakang saya,” ujarnya.

Allan turut menyatakan bahawa dia tidak mahu kontroversi ini berpanjangan dan ingin fokus sepenuhnya pada pertandingan. Walaupun kesan daripada insiden ini cukup besar, Allan menegaskan bahawa dia sudah memaafkan Ridhwan, namun harus menanggung kerosakan reputasi yang berlaku.

“Saya juga memaafkan dia tapi segala kerosakan reputasi ini saya perlu tanggung sendiri. Bagi saya ‘Play Victim’ itu mudah tapi untuk orang yang terkena isu ini susah untuk mereka bersihkan nama mereka sendiri,” katanya.

Allan berharap agar kejadian serupa tidak berlaku kepada peserta lain dalam pertandingan ini. Dia ingin terus fokus pada kariernya dan berharap pihak luar dapat memberi ruang untuknya memperbaiki keadaan.

Terdahulu, Ridhwan Azman yang tersingkir dalam Big Stage Alpha, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Allan berikutan pemilihan lagu yang dianggap tidak adil dalam persembahan berkumpulan mereka pada minggu pertama. Ridhwan turut mendakwa tindakan Allan itu sebagai mementingkan diri sendiri. – Sumber Gempak

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN