KUALA LUMPUR – Seorang pemuda yang videonya tular di media sosial berhubung isu sensitif melibatkan kematian seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil memohon maaf secara terbuka menerusi satu hantaran video di Instagram, hari ini.
Individu dikenali sebagai Muhammad Izzat Syahir Rasheed berkata, video asal yang dimuat naiknya bukan bertujuan untuk mempermainkan atau menjadikan tragedi tersebut sebagai bahan kandungan semata-mata.
Sebaliknya, beliau menjelaskan video itu dibuat semata-mata untuk menafikan dakwaan netizen yang mengaitkan dirinya sebagai mangsa kemalangan tersebut berikutan wajahnya yang dikatakan seiras.
“Assalamualaikum semua, dengan ini saya memuat naik lagi sekali video ucapan maaf saya secara terbuka kepada semua yang terkesan dengan video saya yang viral sebelum ini, terutama sekali kepada pihak keluarga mangsa, pihak UiTM dan UPSI,” katanya dalam kapsyen video berkenaan.
Menerusi rakaman berdurasi kira-kira dua minit itu, Izzat mengakui kesilapan beliau yang mungkin telah menyinggung perasaan banyak pihak.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua warganet, pihak UiTM, pihak UPSI dan terutama sekali kepada keluarga mangsa. Jika video saya itu biadab atau tidak senonoh, saya betul-betul tiada niat langsung untuk mempermainkan sesiapa,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa video tersebut telah dipadamkan dari semua platform dan menyeru orang ramai supaya berhenti membuat penilaian negatif terhadap dirinya kerana beliau telah mengambil iktibar daripada kesilapan itu.
Izzat turut mengucapkan takziah serta menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada arwah mangsa dalam video berkenaan, sambil berharap agar isu ini tidak diperpanjangkan.
Tindakan pemuda itu menerima reaksi pelbagai daripada warga maya, termasuk ada yang mengingatkannya agar lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan yang menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya melibatkan kematian.
Sebelum ini, video yang menunjukkan wajahnya dimuat naik bersama kenyataan penafian menjadi tular dan mengundang kecaman ramai yang menganggap tindakan itu tidak sensitif terhadap keluarga mangsa dan institusi pengajian tinggi yang terlibat.