PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini menjelaskan bahawa perbezaan paparan maklumat antara versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam sistem semakan status perjalanan menjadi punca aktivis kontroversi, Fahmi Reza, dihalang daripada ke Singapura baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kekeliruan itu berlaku susulan pemeriksaan terhadap Fahmi yang mendapati sekatan ke atasnya hanya merujuk kepada kemasukan ke Sabah, bukan perjalanan ke luar negara secara umum.
Menurutnya, pihaknya mengesahkan tiada halangan dikenakan terhadap Fahmi untuk ke luar negara, namun sekatan masuk ke Sabah masih berkuat kuasa mengikut arahan pihak berkuasa negeri.
“Hal ini timbul kerana portal versi Bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian, Justeru, portal itu telah ditutup sementara bagi tujuan pengemaskinian,” katanya dalam satu kenyataan.
JIM, katanya, kini sedang menjalankan semakan teknikal dalaman untuk memastikan ketepatan dan konsistensi maklumat yang dipaparkan dalam semua versi bahasa di portal rasmi mereka agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.
Sebelum ini, Fahmi mendakwa dihalang daripada berlepas ke Singapura selepas dimaklumkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bahawa namanya telah disenarai hitam.
Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang sekatan rasmi dikenakan terhadap Fahmi berkaitan perjalanan ke luar negara