Jumaat • 13 Jun 2025
UTAMAJENAYAH'Stress' belajar, calon SPM tergamak tikam ibu, abang kandung

‘Stress’ belajar, calon SPM tergamak tikam ibu, abang kandung

- Advertisement -

MELAKA – Seorang guru wanita dan anak lelakinya ditemui mati dipercayai dibunuh, manakala seorang lagi ahli keluarga mereka parah dalam satu kejadian tragis di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, di sini awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi apabila kedua-dua mangsa masing-masing berusia 51 dan 21 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah. Seorang lagi ahli keluarga berusia 13 tahun yang cedera parah pula ditemui di kawasan garaj kediaman.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal di lokasi kejadian membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga anak kedua dalam keluarga tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui sebilah pisau lipat sepanjang kira-kira 20 sentimeter yang disorokkan di dalam beg sekolahnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang hari ini.

Menurutnya, mangsa wanita merupakan seorang guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, manakala anak lelakinya yang maut adalah seorang pelajar kolej.

“Kedua-dua mangsa dipercayai mati akibat ditikam menggunakan pisau lipat dengan kesan luka pada leher, pinggang dan belakang badan,” jelas beliau.

Tambahnya, anak bongsu keluarga itu yang terselamat kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat kecederaan parah dipercayai turut ditikam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati motif pembunuhan berpunca daripada dendam suspek terhadap ibu dan abangnya yang didakwa sering memarahinya serta memaksanya belajar.

“Kita percaya suspek menyimpan perasaan marah dan tertekan, lebih-lebih lagi dengan tekanan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal dihadapinya. Jiran juga mengesahkan sering terdengar pergaduhan dari rumah tersebut,” katanya.

Dzulkhairi berkata, suspek dipercayai telah merancang jenayah berkenaan apabila membeli pisau lebih awal dan cuba melupuskan bukti termasuk pakaian berdarah yang dibuang ke kawasan semak berhampiran.

Berdasarkan pengakuan awal, suspek mendakwa dia cuba menikam ibunya ketika mangsa sedang tidur di bilik sebelum perbuatannya disedari abang mangsa yang turut menjadi mangsa ketika cuba menyelamatkan ibu mereka.

“Suspek kemudian turut menyerang adiknya yang berusia 13 tahun selepas adik tersebut enggan meninggalkan rumah seperti diarahkan,” katanya.

Walau bagaimanapun, mangsa bongsu itu berjaya melarikan diri dan ditemukan dalam keadaan cedera parah di garaj rumah selepas menjerit meminta pertolongan sebelum diselamatkan jiran.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN