Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASEMASATular Axia bawa muatan ‘luar biasa’, pemandu sudah dikenal pasti polis

Tular Axia bawa muatan ‘luar biasa’, pemandu sudah dikenal pasti polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti pemandu kereta jenis Perodua Axia berwarna merah yang tular di media sosial kerana membawa muatan berlebihan di Jalan Dengkil-Banting, Sepang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya berjaya mengesan pemandu terbabit pada hari kejadian tular tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu berusia 59 tahun itu merupakan warga tempatan dan memiliki lesen memandu yang sah. Kenderaan yang digunakan juga mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, siasatan lanjut turut mendedahkan bahawa lelaki berkenaan pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu yang menyebabkan masalah pada bahagian kepala.

“Pemandu memberikan alasan bahawa dia tidak berada dalam keadaan sihat ketika kejadian berlaku,” jelasnya.

Menurut Norhizam, lelaki berkenaan telah dijamin oleh ahli keluarganya manakala kenderaan tersebut telah ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan secara menyeluruh.

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial sejak Selasa yang memaparkan sebuah Perodua Axia membawa muatan berlebihan seperti sampah, bakul, rangka katil dan pelbagai barangan lain yang turut diikat di atas bumbung kereta, sekali gus menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya terhadap aspek keselamatan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN