Empat bintang sertai Harimau Malaya, bawa harapan baharu

KUALA LUMPUR — Skuad Harimau Malaya terus diperkukuhkan apabila menerima kehadiran empat lagi pemain warisan berprofil tinggi menjelang aksi penting kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

Empat pemain yang dimaksudkan ialah Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado, yang kini telah menyertai sesi latihan rasmi pasukan kebangsaan di bawah kendalian jurulatih Peter Cklamovski.

Machuca, pemain sayap lincah, kini dipinjamkan ke kelab Velez Sarsfield di Argentina daripada kelab Brazil, Fortaleza. Irazabal pula merupakan pertahanan kental yang mewakili Sabah dan kini beraksi di Azerbaijan, malah berjaya membawa kelabnya ke pusingan kelayakan Liga Europa musim depan.

Figueiredo mencuri perhatian selaku penyerang utama Istanbul Basaksehir, yang menamatkan musim di tempat keempat Liga Super Turkiye sekaligus layak ke kelayakan Liga Konferens Europa. Sementara itu, Holgado menunjukkan aksi cemerlang bersama America de Cali di Colombia, apabila berjaya menjaringkan tujuh gol setakat ini dan tersenarai sebagai penjaring kelima terbanyak dalam liga domestik.

Keempat-empat pemain ini dijangka memberi impak besar kepada kekuatan Harimau Malaya dalam usaha merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia untuk menyinar di pentas Asia.

“Sejak tiba di kem latihan, saya rasakan satu penghormatan untuk mewakili Malaysia. Saya akan berikan segala-galanya,” kata Machuca meluahkan rasa bangga menyertai skuad kebangsaan.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Holgado dan Irazabal yang tidak sabar mempamerkan aksi terbaik buat negara. Figueiredo pula menzahirkan rasa teruja untuk beraksi di pentas lebih besar bersama Harimau Malaya.

“Dapat mewakili Malaysia adalah sesuatu yang luar biasa. Saya tak sabar untuk rasai sokongan penyokong yang saya tahu sangat istimewa,” katanya.

Ketika ini, skuad negara turut dibarisi beberapa pemain warisan berpengalaman seperti Dion Cools, Hector Hevel dan Facundo Garces, menjadikan Harimau Malaya semakin mantap untuk berdepan cabaran antarabangsa akan datang.

BACA JUGA:  Pekerja restoran tendang gelandangan cetus kecaman netizen, desak tindakan tegas
Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...