SUBANG – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berangkat ke Persekutuan Rusia bagi memulakan lawatan negara atas jemputan Presiden Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir V. Putin.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut dengan penuh istiadat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pagi Sabtu, dalam satu majlis rasmi Mengucap Selamat Berangkat.
Sebelum berangkat, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diiringi dengan tembakan meriam 21 das serta lagu Negaraku yang berkumandang megah di udara.
Lawatan ini mencipta sejarah tersendiri apabila Sultan Ibrahim menjadi Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun 1967.
Lawatan negara ini dijangka akan mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Rusia dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, ekonomi, teknologi dan pendidikan.
Hadir menyempurnakan istiadat tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mengiringi serta mengucapkan selamat jalan kepada Seri Paduka Baginda. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof, Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

