Koperal polis maut dirempuh ketika cuba halang penjenayah pecah rumah

ALOR SETAR – Seorang anggota polis berpangkat Koperal maut dirempuh sebuah kenderaan yang dinaiki sekumpulan penjenayah ketika cuba menggagalkan kegiatan jenayah pecah rumah di Taman Golf, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Kedah, CP Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang apabila pasukan lima pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dihantar ke lokasi selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan jenayah tersebut.

“Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, yang baru keluar dari kenderaan di bahagian penumpang hadapan, dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Lexus yang dinaiki empat suspek yang cuba melarikan diri.

“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi.

Tambah Adzli, seorang suspek berjaya diberkas di lokasi manakala tiga lagi melarikan diri menggunakan kenderaan terbabit. Suspek kemudiannya bertindak melarikan sebuah lagi kereta milik pasangan warga emas di sebuah hotel berdekatan, dengan turut membawa bersama isteri mangsa yang berada di tempat duduk penumpang.

“Kereta kedua yang dilarikan itu kemudiannya terbabit dalam kemalangan di Kepala Batas. Kesemua suspek berjaya ditahan di sekitar kawasan berkenaan tidak lama kemudian,” katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana pecah rumah.

“Salah seorang suspek yang berusia 26 tahun dipercayai ketua kumpulan, mempunyai sebanyak 77 rekod jenayah lampau termasuk kes pecah rumah, curi kenderaan dan dadah. Tiga lagi suspek yang berasal dari selatan tanah air juga mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Pihak polis akan memohon perintah reman esok dan akan bekerjasama dengan Kontinjen Johor serta jabatan berkaitan bagi menyiasat sama ada penjenayah tersebut beroperasi secara rawak atau mempunyai maklumat dalaman mengenai rumah yang disasarkan.

BACA JUGA:  Polis tembak mati dua penjenayah, kes samun dan edar dadah

Sementara itu, jenazah Allahyarham Koperal Mohd Hafizul kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

“Arwah berasal dari Setiu, Terengganu dan telah berkhidmat dalam pasukan selama 15 tahun. Beliau meninggalkan seorang isteri serta tiga anak lelaki berusia empat, sembilan dan 11 tahun.

“Kita masih belum memutuskan lokasi pengebumian dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kelak,” ujar Adzli.

Deepa
Deepa
deepa@portalmyberita.com

TRENDING

Kes hina Sultan Selangor, “Bukan tangkap hari ini, esok terus tuduh” – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melengkapkan...

Kes gadis ditikam 61 kali, dakwaan suspek ada kaitan polis tidak benar – Ayob Khan

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri...

KJ cadang GST dikembalikan, nama ‘Madani Tax’ pun boleh

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berpandangan...

Malaysia perkukuh peranan ASEAN hadapi krisis tenaga global – Anwar

KUALA LUMPUR - Malaysia terus komited memperkukuh peranan dalam...

“Pahang wajar diberi layanan saksama” – Tengku Hassanal

KUANTAN - Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan harapan...