SEREMBAN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pagi muncul antara institusi pendidikan menengah yang menonjol dalam bidang sukan apabila melahirkan ramai atlet berbakat khususnya dalam acara memanah, di samping olahraga dan skuasy.
Pengetuanya, Jamri Ahmad, berkata sekolah berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang pendidikan berkualiti dalam akademik, malah memberi penekanan terhadap pembangunan sukan sebagai sebahagian daripada pembentukan sahsiah dan disiplin pelajar.
“SMK Seri Pagi dikenali sebagai sekolah yang melahirkan ramai atlet dalam tiga bidang utama iaitu memanah, olahraga dan skuasy. Antara yang membanggakan, kami mempunyai fasiliti yang lengkap dan peruntukan yang baik bagi memastikan pelajar dapat berlatih dengan bimbingan jurulatih profesional,” katanya kepada MYBERITA ketika ditemui semasa Hari Terbuka PPD Seremban di Seremban Prima, pada Sabtu.
Menurut beliau, minat pelajar terhadap sukan, khususnya memanah, semakin berkembang kerana sekolah itu menyediakan gelanggang khas dengan kelengkapan bertaraf tinggi. Katanya, kos latihan memanah agak tinggi, namun pihak sekolah sentiasa berusaha memastikan pelajar berpeluang mendalami ilmu sukan tersebut dengan sokongan kelab, persatuan serta tenaga pakar.
“Melalui latihan yang sistematik, kami berjaya melahirkan atlet terbaik dalam sukan memanah yang sudah mewakili daerah dan negeri hingga ke peringkat kebangsaan. Sehingga tahun 2024, beberapa pencapaian membanggakan berjaya direkodkan oleh pasukan memanah sekolah ini,” tambahnya.
Lebih menarik, gelanggang skuasy sekolah berkenaan pernah menjadi lokasi latihan legenda skuasy dunia, Datuk Nicol David, sekali gus membuktikan fasiliti sukan di SMK Seri Pagi diiktiraf berkualiti tinggi.
Jamri menegaskan kesedaran terhadap kepentingan sukan harus terus dipupuk dalam kalangan pelajar kerana ia bukan sekadar aktiviti riadah, malah mampu membina masa depan yang cerah dalam bidang profesional.
“Dengan sokongan semua pihak termasuk ibu bapa, alumni dan komuniti setempat, kami percaya SMK Seri Pagi akan terus melahirkan lebih ramai atlet berkualiti pada masa depan,” ujarnya.
SMK Seri Pagi kini dianggap antara sekolah perintis dalam pembangunan sukan bersepadu di Negeri Sembilan, dengan visi untuk menjadi hab pembangunan bakat remaja negara dalam sukan memanah serta bidang sukan lain.

