KUALA LUMPUR – Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila rumahnya di Taman Cendana, Sungai Petani, Kedah cuba diceroboh lelaki tidak dikenali ketika dia bersendirian, baru-baru ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu tular di Threads selepas dikongsikan akaun komuniti @penduduksgpetani yang memaparkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) suspek memasuki kawasan parkir rumah mangsa.
Menurut perkongsian tersebut, mangsa baru pulang ke rumah selepas menghantar anak ke sekolah dan tidak mengunci pagar kerana hanya ingin mengambil barang sebelum keluar semula.
“Selepas lebih kurang lima minit, ada seorang lelaki datang dari kawasan padang depan rumah, kemudian membuka pagar dan masuk ke kawasan rumah,” katanya.
Rakaman berdurasi 14 saat itu menunjukkan suspek berbaju gelap bertindak selamba cuba membuka pintu jeriji serta pintu utama, namun gagal kerana berkunci dari dalam.
“Nasib baik pintu berkunci, kalau tidak tak tahu apa akan jadi,” katanya.
Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.
Difahamkan, suami mangsa turut bergegas pulang sejurus dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial yang berharap aspek keselamatan di kawasan perumahan dapat dipertingkatkan. -MYBERITA
View on Threads

