“Pendirian kami, jika ada bukti-bukti yang kukuh untuk pendakwaan dilakukan, kami tidak ada sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM.
“Tapi lazimnya sebelum pendakwaan itu dilakukan, tentunya ia dimulakan dengan siasatan dan proses itu hendaklah dibuat secara adil dan telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.
Kenyataan itu hadir ketika beberapa pemimpin UMNO yang pernah memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan Felda, berdepan proses undang-undang susulan siasatan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, isu layanan terhadap individu yang masih berada pada peringkat reman turut mendapat perhatian kepimpinan UMNO, khususnya penggunaan pakaian tahanan ketika mereka dibawa ke mahkamah.
Pimpinan parti sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap amalan berkenaan kerana berpandangan individu yang direman masih dalam proses siasatan dan belum disabitkan bersalah.
Terbaharu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu PDRM. – MYBERITA









