KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim atas kejayaan cemerlang merangkul kejuaraan dalam perlumbaan kedua GT World Challenge Asia yang berlangsung di Litar Fuji Speedway, Jepun.
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasmi beliau, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang berjaya menamatkan perlumbaan pertama semalam di kedudukan ketiga.
“Kejayaan ini membanggakan bukan sahaja rakyat Johor bahkan seluruh Malaysia. Ia mencerminkan daya saing serta semangat juang tinggi dalam kalangan anak muda negara di pentas perlumbaan antarabangsa.
“Kejayaan ini juga membuktikan anak-anak muda Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia dan memberi inspirasi kepada seluruh rakyat, khususnya golongan belia,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan meraikan kejayaan dua anakanda baginda dalam siri perlumbaan tersebut serta menzahirkan sokongan dan pujukan atas usaha mereka yang bersungguh-sungguh di litar perlumbaan.
Dalam aksi penuh dramatik itu, Tunku Abdul Rahman bersama rakan sepasukan, Ben Green, mencatat kemenangan bergaya apabila berjaya mendahului perlumbaan dari awal hingga ke garisan penamat menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R #99.
Namun, nasib kurang menyebelahi Tunku Abu Bakar yang memandu jentera #66 bersama Jordan Love apabila kehilangan kedudukan podium selepas pelanggaran di selekoh terakhir perlumbaan, sekaligus gagal menamatkan perlumbaan.
Kejayaan ini menambah lagi pencapaian membanggakan anak-anak Johor dalam arena sukan permotoran dan menyemarakkan lagi semangat rakyat Malaysia terhadap sukan berprestij di peringkat antarabangsa.

